Assalamualaikum dan hai.
Untuk entry ini sis akan berkongsi satu lagi menu pemanis mulut iaitu buko laici.Buko laici ini hampir menyamai dessert viral dari filipina iaitu buko pandan.
Resepi ini sis ambil dari channel Buat orang lapo. Sis telah mencuba sendiri dan rasanya agak sedap dan sesuai untuk dijadikan hidangan pencuci mulut. Kebetulan kita masih lagi dibulan syawal dan sis juga merancang untuk mengadakan rumah terbuka pada penghujung syawal nanti. Jadi pastinya menu ini sudah termasuk dalam senarai sis nanti.
Menu pemanis mulut ini sangat sedap dan menyegarkan lebih-lebih lagi diambil selepas menikmati hidangan berat atau ketika musim panas.Ia dihidang bersama beberapa bahan dan penuh rasa lemak berkrim.
Untuk resepi ini sebenarnya terpulang kepada kita untuk menambah apa-apa asalkan ianya bersesuian dengan menu.Secara asasnya pastilah menggunakan buah laici tin. Selain untuk hidangan keluarga atau para tetamu boleh juga dibuat jualan.Pasti laku keras.Jom kita lihat resepi semudah abc ini.
BAHAN-BAHAN MEMBUAT BUKO LAICI
- 1 tin laici
- 1 tin susu sejat/ whipping cream
- 3 sudu susu pekat manis
- 1 cawan biji sago
- 10 gram serbuk agar-agar
- Pewarna merah
- Ais secukupnya
CARA MEMBUATNYA
- Ambil laici dalam tin asingkan isi dan airnya.
- Tambah 1 cawan air kedalam air laici tadi dan campurkan pewarna merah kedalamnya. Jika suka manis boleh ditambah gula.
- Kemudian masukkan serbuk agar-agar kedalam air tadi kacau sehingga larut. Masak diatas api sehingga agar-agar masak.
- Tuang kedalam bekas dan sejukkan dahulu.
- Seterusnya ambil biji sago yang telah direndam dengan pewarna merah atau sirap rose, masak sehingga sagu masak.
- Letakkan sagu yang telah masak kedalam penapis, siram untuk membuang lebihan kanji.
- Potong agar-agar yang telah beku dan masukkan didalam mangkuk yang sesuai.
- Masukkan juga sago dan buah laici kedalamnya.
- Akhir sekali tuangkan susu sejat yang telah dicampur dengan susu pekat ke atasnya. Jika suka boleh juga ditambah sumi, nata de coco ataupun buahan cocktail sekali.
- Letakkan ais atau sejukkan ke dalam peti ais dan sedia untuk dinikmati.