Assalamulaikum semua.Siput sedut atau siput belitung ini memang sinonim dengan masak lemak cilipadi,memang sedap dan digemari ramai.Selain dimakan bersama nasi ia juga sedap diratah begitu sahaja.Walaupun tidak semua orang menyukai makanan eksotik popular ini.Siput-siput ini perlu dicuci dan dipotong bahagian hujungnya untuk memudahkan proses menyedut.
Untuk memasak siput tidak mengambil masa yang lama,cuma proses mencuci siput sedut itu agak sedikit rumit dan memerlukan kesabaran.Siput yang kita beli dari pasaraya pasti badannya dipenuhi lumpur,lendir dan kotoran.Ia perlu dibasuh beberapa kali dahulu untuk menghilangkan lumpurnya.Tapi seiring dengan perkembangan zaman telah ramai yang menjual siput sedut yang telah siap dicuci terutama di platform online.
Cara paling senang mencucinya ialah dengan meletakkan siput-siput kedalam bekas berjaring/ berlubang besar sedikit lalu dilalukan dibawah air mengalir sambil disental menggunakan berus sabut besar.Kalau anda rajin boleh juga cuci satu-satu.
Selain itu,ada juga yang mencucinya dengan hampas kelapa parut.Gaul sekata kemudian dibiarkan beberapa jam sebelum dibasuh dan dipotong 2-3 gelung badannya.Ketika proses ini bekas yang digunakan untuk meletak siput ini harus ditutup untuk elak siput merayap keluar.
Selepas siput-siput ini siap dipotong bolehlah ditabur garam dan biarkan dalam 10 ke 15 minit untuk dicuci sekali lagi.Insyaallah siput-siput ini bersih dan sedia untuk dimasak.Pastikan juga tiada serpihan cengkerangnya didalam siput tadi.Agak berbahaya jika tertelan.Jom kita lihat bahan dan resepinya.
BAHAN-BAHAN
•Siput sedut
•1 helai besar daun kunyit- hiris halus
•2 batang serai – diketuk
•1 kotak santan
•1 keping asam gelugor
•Garam secukup rasa
•Sedikit serbuk perasa
BAHAN KISAR
•4 biji bawang merah
•3 ulas bawang putih
•Cilipadi ikut kepedasan yang anda inginkan
•1 inci kunyit hidup
CARA-CARA
1)Didalam periuk/kuali satukan bahan kisar, santan,,asam keping, dan serai yang diketuk.Masukkan sedikit sahaja air supaya santan tidak terlalu pekat atau cair.
2)Bila santan nampak mendidih masukkan daun kunyit bersama siput dan masak seketika sambil dikacau perlahan.Daun kunyit ini kalau tak suka tak perlu letak.Kemudian masukkan garam dan serbuk perasa secukupnya. Kacau dan biarkan seketika bolehlah tutup api.Selepas itu bolehlah dihidangkan.