Sis sangat suka menu sambal tumis udang ini. Makan dengan nasi panas-panas dengan sedikit ulam-ulaman atau sayur masak bening. Sis memang jenis suka lauk simple macam ni.
Kalau hari biasa sis memang masak lauk simple macam sambal udang ni. Tak perlu bersusah payah memasak bermacam jenis lauk. Paling-paling pon tambah telur dadar atau ikan goreng. Sambal udang ni syok makan kalau buang kulit nya awal-awal.
Kalau ada yang suka makan petai, boleh sahaja ditambah ke dalam menu sambal udang ini. Sis gunakan air asam jawa untuk melengkapkan rasa. Kalau tiada air asam jawa boleh gantikan dengan sos tomato.
Bahan-bahan
- 400 gram udang bersaiz sedang/besar
- 1 batang serai dititik
- 1/2 cawan air asam jawa
- 1 sudu sos tiram
- 1 sudu sos cili
- Gula secukupnya
- Garam secukupnya
- Serbuk perasa
- Serbuk kunyit
Bahan untuk dikisar
- 3 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- Segenggam cili kering (gunting kecil, rebus dan toskan)
Cara-cara membuatnya
- Lumur udang dengan serbuk kunyit dan garam secukupnya. Panaskan minyak dan goreng udang sehingga perang keemasan. Angkat udang dan ketepikan.
- Menggunakan minyak yang sama, tumis serai sehingga naik bau.Kemudian masukkan bahan kisar, tumis sehingga cili garing dan pecah minyak. Guna api kecil sahaja supaya sambal tidak hangit dan masak cantik.
- Setelah itu masukkan gula secukupnya, kacau rata dan masukkan air asam jawa. Kacau sesekali tunggu sampai pecah minyak sekali lagi. Kemudian masukkan sos cili dan sos tiram.
- Masukkan udang yang telah digoreng tadi, perasakan dengan garam dan serbuk perasa jika suka. Kacau sebati boleh tutup api. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.