Resepi Paru Goreng Berlado

Sedap sungguh paru goreng berlado ini kalau makan dengan nasi panas-panas. Sis kongsikan satu resepi mudah untuk membuat paru goreng berlado.

Sebelum proses merebus paru perlu dicuci bersih dahulu, yelah paru ni kan agak berbau. Kena cuci betul-betul dulu. Masa rebus pun kena letak beberapa bahan yang boleh membantu menghilangkan bau.

Sis sendiri juga agak jarang memasak menu ini dirumah. Sesekali kalau beli nasi lemak di warung waktu pagi, memang tidak sah kalau tak ambil paru goreng berlado ni sebagai lauk tambah.

Kalau diikutkan organ-organ dalaman lembu ini tak elok di makan selalu.

Tahap kepedasan sambal ini terpulang pada selera anda. Kalau suka pedas lebihkan cili padi, untuk yang tak makan pedas boleh kurangkan penggunaan cili padi.

Guna cili besar pun sangat bagus sebab cili jenis ini memang tak pedas langsung.

Bahan-bahan untuk merebus paru

  • 1/2 kg paru
  • Serbuk kunyit
  • Asam keping
  • Halia
  • Garam secukupnya

Cara-caranya

  1. Gaul paru dengan garam selama beberapa minit untuk menghilangkan bau. Basuh bersih kemudian rebus paru dengan asam keping,halia dan garam sehingga empuk. Cocok sedikit dengan garfu untuk memastikan paru telah empuk.
  2. Setelah paru empuk sejukkan dahulu baru potong paru nipis-nipis. Selepas itu lumur paru dengan garam dan serbuk kunyit secukupnya.
  3.  Panaskan minyak dan goreng paru ini sehingga garing. Biar paru masak boleh angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan dahulu.

Bahan-bahan untuk sambal paru

  • *3  biji bawang merah
  • *2 ulas bawang putih
  • *3 biji cili merah besar
  • *5 biji cili padi hijau
  • *5 biji cili padi merah

Kisar kasar bahan-bahan brtanda *

  • Garam dan gula
  • Air asam jawa

Cara-caranya

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Sis guna minyak dari gorengan paru tadi supaya lebih sedap.
  2. Kemudian masukkan air asam jawa, masak hingga pecah minyak sekali lagi. Gunakan api kecil sahaja supaya sambal tidak mudah hangit.
  3. Masukkan paru yang telah digoreng tadi kacau sebati. Akhir sekali perasakan dengan garam dan gula secukupnya.Kalau suka boleh masukkan serbuk perasa.
  4. Paru goreng berlado siap untuk dihidangkan.

Leave a Comment