Ikan keli ni kalau beli di pasar memang awal-awal kena minta siang. Kalau dah balik rumah tanpa disiang memang agak mencabar sikit.
Cara nak matikan keli kena tabur garam banyak-banyak. Pastikan letak dalam bekas bertutup, kalau tak memang boleh melompat keluar ikan-ikan itu.
Ikan keli antara ikan yang mudah untuk dibela. Ikan keli ni tahan lasak sebab itu dia boleh hidup lama kat darat. Rasanya pun agak hanyir, sebab itu masa cuci kena letak bahan seperti asam jawa.
Resepi ikan keli berlada ni rasanya ramai yang sudah tahu. Tapi sis kongsikan versi sis, goreng dulu bawang dan cili yang digunakan sebelum dikisar. Cara ini buat bawang dan cili cepat masak ketika proses menumis, sambalnya juga lebih sedap.
Bahan-bahan
- 3 ekor ikan keli
- 5 biji cili merah besar
- 8 biji cili padi hijau
- 2 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- Sedikit air asam jawa
- 1 sudu tepung jagung
- Serbuk kunyit
- Garam dan gula
- Serbuk perasa
Cara-cara membuatnya
ºCuci bersih ikan keli menggunakan tepung gandum dan asam jawa. Kelar sedikit bahagian badannya. Kemudian toskan, lumur ikan keli dengan garam, tepung jagung dan serbuk kunyit secukupnya.
ºPanaskan minyak secukupnya dan goreng ikan keli ini sehingga garing. Angkat dan toskan ke dalam pinggan.
ºSeterusnya goreng bawang merah, bawang putih, cili padi hijau dan cili merah sehingga layu. Seeloknya tutop kuali kerana kebiasaanya bahan-bahan ini akan sedikit meletup.
ºKemudian angkat bahan-bahan sejukkan sektika, masuk bahan-bahan ini kedalam blendar kering dan blend kasar. Kalau tiada blendar kering boleh tumbuk kasar guna lesung.
ºPanaskan kembali minyak gorengan ikan keli tadi dan masuk bahan-bahan kisar ini masak hingga garing. Kacau sekali sekala supaya bahan gorengan ini tidak hangit.
ºMasukkan air asam jawa dan tambah sedikit air tumis hingga sambal masak dan pecah minyak. Ketika proses menumis ini gunakan api kecil sahaja.
ºAkhir sekali perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya.
ºTuang sambal ini ke atas ikan keli yang sudah digoreng tadi. Ikan keli goreng berlada siap untuk dihidangkan.