Kalau beli nasi bungkus ayam gulai dari kelantan rasanya memang sedap dan berlainan sedikit dengan gulai dari negeri lain. Bau nya pun sudah sedap, rasa lagi lah padu.
Resepi gulai ayam kelantan ini memang resepi turun temurun keluarga sis. Selain nasi kerabu, memang nasi berlauk gulai ayam selalu menjadi pilihan untuk sarapan. Tambah sambal jate dengan hirisan timun memang sangat umphhhh.
Kalau buat gulai ayam kelantan ni, sis suka bahagian tulang ayam seperti kaki, leher dan kepak. Orang kelantan panggil bahagian ‘kopeh’. Rasanya manis-manis berlemak apalagi jika direbus empuk.
Untuk rasa yang original, guna rempah kari khas dari kelantan. Sis guna rempah kari cap orang terbang, sis beli online kat shoppe sahaja.
Bahan-bahan gulai ayam kelantan
- 1/2 ekor ayam (sis potong 7-8 bahagian)
- 1 sudu cili boh/cili kisar
- 1 sudu kerisik
- 1 cawan santan
- 1 keping asam keping
- 1 kayu manis
- 1 bunga lawang
- 1 paket kecil rempah kari cap orang terbang
- Gula melaka
- 1 sudu kicap manis
- Minyak masak
- Garam secukupnya
Bahan kisar
- 2 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1/2 inci lengkuas
- 1/2 inci kunyit hidup
- 1/2 sudu ketumbar
- 1/2 sudu jintan manis
Kisar halus semua bahan ini.
Cara-cara membuatnya
♥ Panaskan minyak, tumis kayu manis dan bunga lawang. Kemudian masuk bahan kisar tumis hingga naik bau.
♥ Kemudian masukkan cili boh dan serbuk kari, letak sedikit air dan tumis sehingga terbit minyak.
♥ Masukkan ayam dan kacau rata, masa ini ayam akan mengeluarkan air nya sendiri. Masak sehingga air ayam sedikit kering.
♥ Kemudian masukkan santan dan sedikit air, kacau seketika. Masuk gula melaka dan masak ayam sehingga empuk lebih kurang 20 minit.
♥ Masuk kerisik dan sedikit kicap manis untuk menambahkan kelazatan gulai ayam. Selain dari serbuk kari yang digunakan, inilah rahsia keenakan gulai nasi bungkus orang kelantan.
♥ Perasakan dengan garam secukupnya. Kalau suka lebih manis boleh tambah gula. Sis biasanya tak letak sebab sudah ada rasa manis dari gula melaka dan kicap manis.
♥ Setelah kuah mencapai kepekatan yang diinginkan bolehlah matikan api. Ayam gulai versi kelantan siap untuk dihidangkan.