Resepi Asam Pedas Telur Ikan Mayong

Memang susah nak cari telur ikan mayong segar di pasar sekarang ni. Telur ikan mayong ni cantik berkilat macam guli. Tapi sekarang telur ikan ni dah banyak di frozenkan dan dijual online.

Harga untuk sekilogram ikan ni memang melambung tinggi, kalah harga seafood yang lain. Kiranya telur ikan ni sudah termasuk dalam kategori kayangan juga. Tapi kalau teringin sekali sekala apa salahnya dibeli kan.

Telur ikan mayong ni biasanya sedap dibuat asam pedas. Cuma telur ikan mayong ni sedikit rumit untuk disediakan, sangat mudah pecah. Pastilah tak cantik bila dah masak nanti, kualiti kuahnya pon pasti terjejas. Sebab tu telur ikan mayong ni kena rebus kosong dulu sebelum dibuat asam pedas. Telur pon diletakkan akhir sekali supaya tidak terlebih masak.

 

Bahan-bahan telur ikan mayong

  • 1/2 kg telur ikan mayong
  • 1 genggam daun kesum
  • 2 batang serai dititik
  • 1 sudu lada hitam (tumbuk lumat)
  • 1 kuntum bunga kantan (belah 2)
  • Air asam jawa
  • Garam dan gula
  • Minyak masak
  • Air secukupnya
  • 1 senduk cili giling/ cili boh
  • Tomato/ sayur bendi/ terung

Bahan kisar

  • 3 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • Sedikit belacan

 

 

Cara-cara membuatnya

  1. Cuci bersih telur ikan mayong kemudian rendam dengan air asam jawa selama 30 minit untuk menghilangkan bau nya. Setelah itu bilas dengan air bersih.
  2. Didihkan air secukupnya, masukkan 1 batang serai. Masukkan telur ikan mayong yang dibasuh tadi masak selama 5 minit atau separuh masak. Setelah itu bilas kembali telur ini supaya hilang bau hanyir telur yang pecah.
  3. Panaskan minyak tumis serai dan bahan kisar shingga naik bau. Kemudian masukkan cili kisar, masak hingga pecah minyak.
  4. Seterusnya masukkan air secukupnya, masuk daun kesum, bunga kantan, sayur bendi/terung, air asam jawa dan lada hitam. Kacau perlahan sehingga mendidih dan sayur lembut.
  5. Apabila sayur sudah lembut masukkan telur ikan mayong, perasakan dengan garam dan gula.
  6. Bila rasa semua sudah lengkap boleh matikan api.
  7. Asam pedas telur mayong siap untuk dihidangkan.

 

 

 

Leave a Comment