Resepi Kek Sarang Semut

 

Assalamualaikum dan hai.

Kek sarang semut atau kek gula hangus, cara membuatnya sangat mudah dan tidak memerlukan bahan yang banyak. Paling istimewa kek ini boleh dikukus atau dibakar selain bentuk lubang-lubang kecilnya sangat unik.

Rasanya sangat sedap, kenyal dan bewarna sedikit kehitaman serta tidak memuakkan. Selain dibakar ada juga yang memasaknya menggunakan air fryer dan rice cooker. Jadi untuk yang tak ada oven pun boleh membuat kek ini.

Kek ini sangat sesuai dihidangkan untuk minum petang sekeluarga, dihidangkan pada majlis-majlis keramaian atau dibuat jualan pasti laris. Jom kita lihat resepi mudah versi kukus ini dan hanya menggunakan sukatan cawan sahaja.

BAHAN-BAHAN

•1 cawan gula

•1/2 cawan butter/marjerin

•1 cawan air panas

•4 biji telur gred A/B

1/2 cawan susu pekat

•1 cawan tepung gandum

•1 sudu besar soda bikarbonat

•Sedikit esen vanila

CARA-CARA

°Cairkan gula menggunakan api kecil sehingga gula bertukar keperangan.Pastikan gula hangus bukan hangit  supaya kek tidak menjadi pahit nanti. Kemudian masukkan air panas sedikit demi sedikit. Kacau sehingga gula larut, tutup api kemudian masukkan butter dan kacau sampai sebati. Biarkan gula sejuk dalam 3 ke 4 jam.

°Kemudian ayak tepung gandum bersama soda bikarbonat. Selepas itu tuangkan gula hangus yang telah sejuk tadi kedalam adunan tepung menggunakan penapis. Kacau hingga aduanan sebati.

°Pukul manja telur bersama susu pekat dan esen vanila kemudian tuang kedalam adunan tepung tadi.Kacau sekejap dan masukkan adunan ke dalam loyang atau acuan yang sudah pun di sapu dengan mentega atau marjerin.Perap adunan kek selama 3-4 jam  bertujuan untuk menghasilkan lubang-lubang kek yang lebih banyak.

°Pastikan air didalam periuk kukusan telah mendidih.Kemudian kukus kek sehingga masak lebih kurang 45 minit atau sehingga masak.Cucuk lidi kedalam kek untuk memastikan kek telah masak,sekiranya lidi masih basah bolehlah ditambah waktu mengukus.Sekiranya lidi bersih bermakna kek sudah masak.Bolehlah ditutup api dan disejukkan sebelum dipotong.

°Tips untuk mendapatkan bentuk sarang semut yang cantik berlubang adalah dengan memotong kek secara melintang bukan seperti kebiasaannya.Maksudnya kek dibelah dua dahulu barulah dipotong.Hasilnya bentuk lubang-lubang kecil yang cantik pada kek akan kelihatan.

Leave a Comment