Kuih ini mempunyai beberapa nama, ada yang panggil pau sambal, burger malaysia dan ada yang panggil poket doraemon.Kuih burger malaysia ini merupakan kombinasi roti goreng yang gebu diletakkan inti sambal bilis yang pedas manis. Selain itu, kuih burger malaysia ini diselit juga dengan ulam timun dan salad.
Resepi ini sis dapat dari kakak sis, cik rosnan yang merupakan penjual kuih kecil-kecilan. Selalunya kuih burger malaysia buatan kakak sis ini antara kuih yang laris dijual. Kalau untuk jualan biasanya cik rosnan cuma letak timun sahaja. Untuk makan sendiri boleh lah letakkan salad.
Untuk rasa kuih yang sedap, intinya mesti mempunyai rasa sedikit manis dan pau nya harus lembut dan gebu. Tambah juga ulam yang segar.
Bahan ulam/sayur
- Salad
- Timun (hiris nipis)
Bahan-bahan membuat sambal bilis (inti pau)
- *5 biji bawang merah
- *4 ulas bawang putih
- *1 mangkuk kecil cili kering
Kisar halus bahan bertanda*
- 1 genggam ikan bilis
- Sedikit air asam jawa
- 1 keping gula melaka
- 2-3 sudu gula
- 1 biji bawang holand ( hiris bulat)
- Minyak untuk menumis
- Garam secukupnya
Cara-cara membuatnya
♥ Goreng ikan bilis separuh garing kemudian ketepikan dahulu.Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak menggunakan minyak yang sama. Cara ini menghasilkan sambal yang lebih enak.
♥ Bila sambal dah pecah minyak, masukkan air asam jawa, gula melaka, gula putih dan garam. Kacau lagi menggunakan api kecil sehaja.
♥ Masukkan ikan bilis dan bawang holand yang dihiris bulat, renih lagi sehingga sambal betul-betul masak. Bila sambal telah masak boleh matikan api dan biarkan sejuk dahulu.
Bahan-bahan untuk pau
Bahan A (untuk yis)
- 2 sudu besar yis mauripan
- 1 cawan air suam
- 1 sudu gula
- 1 sudu susu pekat
- Sedikit garam
Bahan B
- 1/2 kg tepung gandum
- 3 sudu marjerin/mentega
Cara-cara membuatnya
♥ Masukkan semua bahan ini kedalam mangkuk yang sesuai, kacau hingga semuanya sebati.
♥ Biarkan yis mengembang selama 15 ke 20 minit. Sementara itu, kita sediakan bahan tepung dahulu.
♥ Masukkan tepung dan marjerin kedalam mangkuk besar, bila yis telah mengembang tuang sedikit demi sedikit kedalam adunan tepung.
♥ Uli sampai adunan sebati dan doh sudah tidak melekat di tangan. Kalau air yis tadi tak cukup, boleh masukkan air biasa sedikit demi sedikit.
♥ Rehatkan doh selama 30 minit. Doh akan mengembang 2 kali ganda dari sebelumnya.
♥ Tumbuk- tumbuk doh untung membuang lebihan angin, kemudian boleh bulatkan doh mengikut saiz kuih yang dimahukan. Buat sehingga doh habis.
♥ Rehatkan doh selama 10 minit, kemudian panaskan minyak dan goreng doh menggunakan api sederhana sehingga sedikit kekuningan. Angkat dan toskan.
♥ Bila kuih sedikit suam belah tengah, Isikan dengan sambal bilis. Tambah sayuran seperti timun atau salad
Kuih pau sambal siap untuk dihidangkan.