Memang sedap sambal ni makan dengan nasi panas-panas. Sambal totok ni memang sesuai untuk menaikkan selera. Gabungan rasa pedas dan masin manis ikan bilis memang boleh buat makan bertambah-tambah. Ditambah lagi kalau ada ulam-ulaman dan telur dadar yang digoreng gebu rangup.
Buat penggemar sambal totok yang pedas boleh lebihkan cili padi, sis letak sedikit sahaja sebab sis tak tahan pedas. Cukup lah sekadar pedas-pedas manja, anak-anak pon suka makan. Sis tumbuk separa lumat sahaja, kalau suka boleh tumbuk sampai lumat.
Bahan-bahan sambal totok
- Segenggam ikan bilis
- 3 biji cili padi merah
- 5 biji cili padi hijau
- 2 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci belacan
- Garam secukupnya
- Serbuk perasa
- Minyak masak
Cara-cara membuatnya
- Goreng ikan bilis sehingga rangup. Angkat dan toskan.
- Kemudian goreng pula bawang merah, bawang putih, belacan,dan cili padi sehingga layu. Sejukkan seketika.
- Setelah itu tumbuk separa lumat semua bahan yang digoreng tadi. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
- Sambal totok jawa siap untuk dihidangkan.
Tips;
√ Belah 2 cili padi supaya tidak meletup ketika digoreng. Boleh juga tutup kuali ketika digoreng.
√ Perah jus limau nipis/ limau kasturi sebelum dinikmati untuk menambah rasa.
√ Guna ikan bilis segar supaya rasa sambal lebih manis dan sedap.
√ Guna cili padi kampong kalau suka sambal yang pedas berapi.