Kalau dulu-dulu bila ada kenduri di kelantan selalunya daging gulai kawah ini wajib dimasukkan buah ara, umbut pisang atau umbut kelapa. Bahagian tulang, isi dan lemak akan dicampur sekali supaya lebih sedap. Gulai ini akan dimasak dalam kawah besar, sebab itulah dipanggil gulai kawah. Tempoh memasaknya juga agak lama dan selalunya dibuat secara gotong royong.
Daging gulai kawah ni dimasak menggunakan rempah gulai timbang yang biasa boleh dibeli di kelantan. Tapi kalau anda tak ada boleh juga menggunakan rempah kari daging yang biasa terdapat di pasaran.
Sedikit tips ketika menumis letakkan minyak lebih sedikit supaya bahan rempah lebih sedap dan tidak mudah hangit. Rempah perlu dimasak lama dengan api kecil dan di kacau sesekali. Kuah gulai kawah juga tidak boleh terlalu pekat atau terlalu cair, biar sedang elok baru sedap makan dengan nasi.
Bahan-bahan daging gulai kawah
- 1 kg daging lembu
- Rempah gulai kawah
- 1 biji bawang merah (hiris nipis)
- Santan
- Nise/gula melaka
- 1 sudu kerisik
- Rempah 4 sekawan
- 1 keping asam keping
- Garam dan gula
- Minyak untuk menumis
Bahan kisar
- 5 biji bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 1 biji bawang holand
- 2 inci halia
- 1 inci lengkuas
- 10 tangkai cili kering ( rebus dan toskan dahulu)
Cara membuatnya
♥ Tumis rempah 4 sekawan hingga naik bau. Masukkan bawang merah yang dihiris nipis tumis hingga bawang sedikit kekuningan.
♥ Selepas itu, masukkan bahan kisar, masak sehingga bahan tumis sedikit garing atau pecah minyak.
♥ Masukkan rempah gulai kawah yang telah dibacuh dengan sedikit air. Tambah sedikit air dan tumis sehingga semua bahan rempah benar-benar masak. Gunakan api kecil sahaja, kacau sekali sekala supaya rempah tidak hangit.
♥ Setelah itu, masukkan daging yang telah dihiris kecil, gaul sebati biar semua bahan mesra. Daging yang dimasak akan mengeluarkan air nya sendiri. Tambah air jika gulai terlalu pekat.
♥ Kemudian masukkan santan, air, kacau sekata biarkan daging mendidih dan sedikit empuk. Letakkan nise/gula melaka, kerisik dan asam keping.
♥ Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Bila gulai telah masak dan pecah minyak boleh matikan api.