Assalamualaikum dan hai semua.
Bila tiba musim perayaan kuah kacang seringkali menjadi menu wajib yang akan dihidangkan untuk para tetamu.Kuah kacang biasanya disajikan bersama nasi impit dan dijadikan kuah sate.
Bagi penggemar kuah kacang juga tidak menghairankan jika mereka boleh meratah kuah ini bermangkuk-mangkuk.
Terdapat pelbagai versi dalam penyediaan kuah kacang ini.Ada resepi yang menggunakan santan dan ada yang tidak meletakkannya.
Begitu juga dengan penyediaan kacang tanah,ada sesetengah resepi yang mengesyorkan untuk menggoreng kacang tanah terlebih dahulu. Ada yang sekadar perlu menyangai sahaja kacang tanah tanpa menggunakan minyak.
Untuk versi kuah kacang sis ini,sis akan menggoreng kacang tanah dengan menggunakan minyak.Sis juga suka meletakkan santan kerana kuah kacang kita nanti lebih sedap berlemak manis dan teksturnya kelihatan berkilat cantik.Jom kita lihat resepinya.
BAHAN-BAHAN MEMBUAT KUAH KACANG
•1 kg kacang tanah (basuh bersih dan toskan)
•Minyak masak
•2-3 keping gula melaka/nise
•Air asam jawa
•1 kotak kecil santan (guna santan segar lebih sedap)
•Garam secukup rasa
Bahan kisar
•5 biji bawang merah
•3 ulas bawang putih
•15 tangkai cili kering (gunting halus,rebus dan toskan)
•4-5 batang serai
CARA-CARA MEMBUAT KUAH KACANG
°Goreng kacang tanah dengan sedikit minyak sehingga keperangan kemudian disejukkan seketika.
°Selepas itu gosok kasar kacang ini untuk membuang kulitnya.Kulit kacang tanah biasanya akan memberi rasa sedikit pahit pada kuah kita nanti.
°Kemudian kisar kacang tanah ini.Boleh gunakan blendar kering atau basah.Kacang tanah ini jangan dikisar terlalu hancur kerana kita mahukan rasa sedikit kruk-krak ketika memakannya.
°Panaskan minyak masukkan bahan kisar tadi,masak hingga pecah minyak.
°Masukkan kacang tanah yang dikisar tadi bersama 1 kotak santan tadi bersama 3-4 cawan air.Air boleh ditambah jika kuah kita nampak terlalu pekat.
°Bila kuah sudah mendidih masukkan gula melaka,garam dan air asam jawa.Tunggu hingga gula melaka hancur sambil dikacau sesekali.Kalau suka boleh juga ditambah serbuk perasa.
°Selepas itu boleh matikan api.Kuah ini jangan dimasak sehingga airnya terlalu kering kerana pada kebiasaanya kuah ini akan memekat sendiri apabila sejuk.
Kuah kacang siap untuk dihidangkan.