Cara Buat Tapai Pulut

 

Tapai pulut merupakan makanan tradisi yang sangat digemari terutamanya di negeri pantai timur.Tidak hanya dinikmati pada hari-hari biasa,Ia juga merupakan salah satu hidangan wajib ketika meraikan hari perayaan aidilfitri dan aidiladha.Biasanya tapai pulut ini dimakan selepas menikmati hidangan berat seperti nasi,bolehlah diibaratkan seperti pencuci mulut.

Selain tapai pulut,satu lagi jenis tapai yang tidak kurang enak ialah tapai ubi.Berbeza dengan tapai pulut,tapai ubi pula biasa lebih digemari ketika bulan ramadhan.Sebagai hidangan berbuka puasa ataupun moreh.Ia kurang basah dan berair berbanding tapai pulut.

Petua orang tua-tua pula mengatakan terdapat sedikit pantang larang ketika membuat dan memakan tapai.Namun setakat mana kesahihannya juga tidak dapat saya pastikan.

Bahan utama untuk menghasilkan tapai sudah pastinya pulut dan ragi.Ragi ini akan dihancurkan seperti serbuk sebelum diayak keatas pulut yang sudah dikukus.Untuk membuat tapai pulut ini bahannya sangat mudah hanya menggunakan 2 bahan sahaja.Jom kita lihat resepinya.

BAHAN-BAHAN

1 kg beras pulut

1 biji ragi

CARA MEMBUATNYA

1)Basuh beras pulut sebersihnya dan rendam selama 2-3 jam.Kemudian toskan dan letak didalam periuk kukusan.Kalau nak lebih sedap boleh gunakan pulut susu,pulut jenis ini lebih lembut dan gebu.

2)Kukus periuk didalam periuk kukusan,sebelum itu pastikan air di periuk mendidih terlebih dahulu.Kukus selama 20 minit dan balikkan pulut untuk memastikan ia masak sekata.Kukus selama 20 minit lagi.

3)Setelah itu tutup api dan alihkan pulut kedalam bekas atau dulang yang besar.Biarkan pulut betul-betul sejuk.Biasanya saya biarkan dalam 1 jam.

4)Apabila pulut sudah sejuk,ayakkan ragi yang telah dihancurkan keatas pulut tadi,balik-balikkan supaya ragi rata pada pulut.Cara senang untuk menghancurkan ragi adalah dengan meletakkan kedalam plastik aiskrim atau plastik lauk kemudian diketuk sedikit menggunakan ulu lesung.

4)Gunakan sudu dan masukkan pulut tadi kedalam daun getah/pisang ataupun boleh gunakan bekas yang anda  mahukan.

5)Setelah selesai letakkan kedalam besen atau bekas besar yang sesuai.Balut dengan kain dan simpan ditempat gelap selama 2 hari.

6)Selepas 2 hari biasanya tapai akan masak dan bolehlah dimakan.Untuk lebih sedap sejukkan dahulu didalam peti ais sebelum dinikmati.

Leave a Comment