Roti canai memang menjadi makanan kegemaran rakyat malaysia tak kira bangsa dan usia. Menu ini seringkali menjadi pilihan ketika bersarapan atau minum petang. Roti canai ini sangat sinonim dengan restoran mamak.
Bahan untuk membuat roti canai sangat mudah dan senang didapati. Nak buat roti canai ini memerlukan kesabaran terutama ketika proses menguli. Roti perlu diuli agak lama supaya doh tepung ‘masak’ dan tidak koyak ketika ditebar nanti.
Roti canai selalunya dihidangkan bersama kuah kari atau kuah dal dan ditambah sambal untuk melengkapkan rasa. Selain itu roti canai boleh diolah dengan menambah bahan lain seperti telur, pisang, sardin dan sebagainya.
Bahan-bahan untuk roti canai
- 1 kg tepung gandum
- 2 sudu gula putih
- 2 sudu susu pekat
- 2 sudu marjerin
- 3 sudu minyak masak
- 1 biji kuning telur
- 1 sudu kecil garam
- Air secukupnya
- Minyak masak untuk perap doh
Cara-cara membuatnya
♥ Masukkan susu pekat, gula,garam dan telur ke dalam mangkuk besar. Kacau sehingga semua bahan larut.
♥ Kemudian masukkan tepung gandum, marjerin dan minyak masak ke dalam adunan, gaul sehingga semua adunan sebati.
♥ Tuang air sedikit demi sedikit ke dalam adunan. Uli sehingga doh menjadi lembut dan tidak melekat di tangan.
♥ Bila doh sudah lembut dan gebu rehatkan doh selama 10 minit. Kemudian bulatkan doh sehingga habis. Sapu marjerin di keliling doh yang dibulatkan.
♥ Susun adunan di dalam bekas yang boleh ditutup, tuang minyak masak sehingga paras menutupi doh yang dibulatkan. Tutup bekas dan peram doh sekurang kurangnya empat jam, lebih elok jika diperam semalaman.
Cara tebar roti canai untuk yang kurang mahir
♥ Tebar roti canai di atas meja yang bersih atau boleh juga guna belakang talam. Ambil doh roti letakkan sedikit minyak, leperkan dahulu doh supaya nipis sedikit. Kemudian boleh tarik doh sehingga betul-betul nipis. Kalau ada koyak sikit biarkan sahaja.
♥ Apabila doh telah nipis bentukkan roti seperti sanggul, rehatkan 2-3 minit .Sementara itu kita boleh tebar doh yang lain dulu. Setelah itu tekan-tekan sedikit sanggul tadi hingga menjadi bulat.
♥ Panaskan pan atau kuali non stick, renjis sedikit minyak dan bakar roti sehingga garing. Gunakan api kecil sahaja. Balik-balikkan sekali sekala supaya roti masak sekata.
Siap untuk dihidangkan.