Resepi Kacang Kuda Rebus Berempah

Menu kacang kuda rebus berempah ni memang antara kegemaran sis. Dulu selalu beli dengan seorang uncle ni, tapi sekarang uncle tu dah tak berniaga lagi. Nasib baik cara membuatnya agak mudah, jadi bila-bila teringin boleh lah buat sendiri sahaja di rumah.

Ada sesetengah memang tidak sesuai makan kacang kuda ni, boleh menyebabkan perut rasa kembung atau berangin. Memang boleh buat tak selesa lagi-lagi kalau sedang bekerja. Tapi untuk sis alhamdulillah tak pernah ada masalah. Paling penting sis tak akan makan ketika perut kosong.

kacang kuda rebus berempah

Paling penting sebelum kacang ini digoreng dengan sedikit minyak dan rempah ratus terpilih, ia wajib direndam sebelum direbus sehingga empuk. Jika tidak direndam semalaman memang kacang kuda ni susah sikit nak empuk. Kena rebus lama dan warnanya biasa akan bertukar menjadi ‘lebam’. Kalau empuk pon kacang macam tak kembang sangat.

Selalu yang jual kacang kuda rebus berempah ni uncle india. Tapi di sesetengah tempat memang susah nak dapat kacang kuda rebus berempah ni. Kalau di pasar malam pon selalu kita cuma jumpa kacang kuda rebus biasa sahaja. Boleh cuba resepi mudah kacang kuda rebus berempah ini dirumah. Sesuai untuk dijadikan kudapan terutamanya selepas menikmati hidangan berat.

 

Bahan-bahan membuat kacang kuda rebus berempah

  • 2 cawan kacang kuda
  • 3 tangkai cili kering
  • 2 tangkai daun kari
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 sudu jintan manis
  • 1/2 sudu biji sawi
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak
kacang kuda
Rebus kacang kuda sehingga empuk

 

Bahan tumis kacang kuda berempah
Tumiskan rempah ratus bersama sedikit minyak masak

 

kacang kuda berempah

Cara-cara membuatnya

  1. Rendam kacang kuda semalam, toskan air nya dan cuci supaya kacang kuda lebih bersih.
  2. Rebus kacang kuda bersama sedikit garam dan serbuk kunyit sehingga empuk. Kemudian toskan airnya dahulu.
  3. Panaskan sedikit minyak masak, tumis biji sawi dan jintan manis. Tunggu sehingga biji sawi meletup dahulu.
  4. Kemudian masukkan cili kering goreng seketika, masukkan daun kari.
  5. Setelah itu, masukkan kacang kuda yang direbus tadi kacau sehingga semua bahan sebati.
  6. Letak garam jika perlu sahaja. Tutup api dan kacang kuda rebus berempah siap untuk dihidangkan.

Leave a Comment